Saturday, November 13, 2010

'Debu Duka'

Assalamu'alaikum w.b.t.

Baru sahaja selesai menonton Majalah 3 di tv3, dan kali ini dengan kisah letusan Gunung Merapi di Indonesia. Sungguh tragis. Beratus-ratus manusia kehilangan nyawa, harta dan tempat tinggal. Ujian buat mereka yang bukan hanya menguji insan-insan di daerah sana, tetapi juga peringatan buat manusia-manusia yang masih punya nyawa ini. Allahu Akbar, Kau Yang Maha Kuasa.

Melihat mayat-mayat bergelimpangan di dalam debu-debu di halaman rumah mereka, sungguh membuat hati ini ngeri lagi gerun. Lantas menginsafi betapa manusia ini hanyalah hamba yang cukup lemah lagi kerdil, ibaratnya semut-semut yang sedang berada di tanah pamah, lantas di sirami dengan abu-abu bahan bakar. Nah, pengakhirannya hanyalah begitu, walau betapa tinggi dan besarnya pangkat semasa masih punya nyawa. Sanak saudara mereka semua berduka, pada wajah mengundang seribu tanda tanya akan suami atau isteri atau anak-anak, ibu , ayah yang masih tidak dijumpai. Mereka meratap, memohon perlindungan dari Allah, sungguh ratapan itu penuh dengan pengharapan dan deraian air mata. Hanya nama Allah yang bermain di bibir-bibir mereka yang terselamat sementara berjaga-jaga jika ada ancaman seterusnya dari sang merapi.

Terpaku seketika mata ini, lidah terkelu, gambaran asap dan debu yang bergumpalan mengingatkan diri ini akan hari terakhir buat seluruh umat manusia, yakni Hari Kiamat. Sungguh, Allah s.w.t. telah menggambarkan segala-galanya tentang keadaan hari itu di dalam Al-Quran, dan letusan Merapi ini adalah salah satu contoh dan bukti, akan benarnya janji Allah s.w.t. terhadap makhluknya.

Letusan gunung berapi, banjir di beberapa negeri di Malaysia, kes-kes jenayah yang hari-hari semakin pelik dan gila. Itulah dia peringatan dan ancaman dari Pemilik Alam Semesta kepada hamba-hambaNya. Maka, amatlah rugi jika segala yang berlaku ini hanyalah bagai debu-debu yang akhirnya hilang bila angin menyapu pergi, biarlah fenomena semasa ini bisa menggetarkan hati-hati yang makin lalai, menguatkan jiwa yang sedang rapuh, lantas membangkitkan keazaman untuk terus membina hidup dalam Mardhatillah.

Ya Allah, Hanya padaMu kami mohon perlindungan,
Ya Allah, Ampuni kami..Rahmati kami..kasihi kami.
Ameen Ya Rabbal 'Alamin..

Sunday, November 7, 2010

..penghargaan..



Penghargaan buat HafizAdam untuk video di atas,
Terima kasih tidak terhingga buat yang mengiringi kepulangan pada malam itu,
dan
tidak lupa kepada seluruh warga Gen 6, yang mengucapkan selamat jalan, yang mendoakan, yang memberi hadiah dan buah tangan.

Semoga Allah Merahmati kita semua di Dunia dan Akhirat
=)

Jumpa lagi..insyaAllah!

Friday, November 5, 2010

~burung sampaikan rasa pilu, angin terbangkan rasa sedih~

Assalamu'alaikum w.b.t.

Alhamdulillah, hujan sedang renyai-renyai di luar sana. Agak sejuk bumi Kelantan pada waktu malam. Alhamdulillah, sudah hari ke 3 berada di teratak ayah bonda, bermakna sudah selama itu aku meninggalkan bumi tumpahnya kasih sayang pada sahabat-sahabat perjuangan. Bumi Cairo.

Kekok rasanya mahu memulakan bicara, kerana tidak tahu hendak bermula di mana. 3 post sebelum ini hanya sebagai 'superficial' pada jalan cerita yang bermacam rasa. Mungkin ada yang faham, mungkin ada yang masih samar-samar. Yang pastinya, Asrarr sekarang bukan lagi penghuni Kota Kaherah, bukan lagi musafir di benua sana, bukan lagi seorang pelajar medic! Jalan di hadapan masih kabur, pulang ke pangkuan keluarga bersama rasa keyakinan dan jaminan dari rezeki Allah Yang Maha Satu.

Gelak tawa mereka, usikan mereka dan pelukan mereka masih terasa. Segalanya rasa bagaikan sedang bermimpi, entah bila akan sedar dari dunia mimpi ini. Walhal, itulah realiti sebuah kehidupan. Semoga aku tidak hanyut terlalu jauh dengan mimpi-mimpi ini, kerana aku harus bangun untuk terus bernafas demi ayah bonda, keluarga dan masa depanku. Sungguh, ujian ini sukar, namun ujian ini juga aku rasa begitu nikmat hidup sebagai hamba Allah.

Setibanya di rumah, baru sahaja mahu merehatkan jiwa yang sedang sesak, dikhabarkan pula akan pemergian nenek tersayang. Allahu Akbar, terasa 'izzahnya dengan Kuasa Allah, Kau Sebaik-baik Perancang, Kau yang mengatur hidup aku yang terbaik untukku. Syukur, walaupun tidak sempat melihat arwah pada saat akhir hayatnya, namun kucupan terakhir itu cukup, dan sudah cukup menyebakkan jiwa ini. Oh, rupanya belum kering air mataku. Kematian itu sungguh sebagai ingatan dan iktibar pada hamba-hambanya yang masih punya nyawa. Al Fatihah buat arwah nenek. Semoga ditempatkan bersama orang-orang yang beriman dan para solihin. Ameen.



Kini, baru sahaja selesai menatap potret-potret bisu. Walaupun bisu, bagaikan terdengar suara-suara mereka. Hebatnya Allah yang menganugerahkan perasaan ini, Baiknya Allah yang memberiku sahabat-sahabat yang berhati mulia. Kasihnya Allah, yang menyatukan hati-hati kami. Semangat dan doa dari mereka akan menjadi inspirasi untuk aku terus melangkah, isnyaAllah.

*heart*
sesungguhnya aku mula merindui Cairo, dan segala isinya..

Sedih, sedih juga..hidup harus terus berjalan. Sementara menanti bergelar sebagai pelajar balik, mencuba menjadi sebaik-baik anak buat ayah bonda. Semoga Allah meredhai segalanya. Semoga Allah memudahkan segala perancangan dari hamba yang kerdil ini. Mohon doa dari semua! =)

-------------------------
banyaaaak sgt benda nak tulis, tapi tidak tertulis. isk. mata pun sudah kabur. huu.