Friday, November 5, 2010

~burung sampaikan rasa pilu, angin terbangkan rasa sedih~

Assalamu'alaikum w.b.t.

Alhamdulillah, hujan sedang renyai-renyai di luar sana. Agak sejuk bumi Kelantan pada waktu malam. Alhamdulillah, sudah hari ke 3 berada di teratak ayah bonda, bermakna sudah selama itu aku meninggalkan bumi tumpahnya kasih sayang pada sahabat-sahabat perjuangan. Bumi Cairo.

Kekok rasanya mahu memulakan bicara, kerana tidak tahu hendak bermula di mana. 3 post sebelum ini hanya sebagai 'superficial' pada jalan cerita yang bermacam rasa. Mungkin ada yang faham, mungkin ada yang masih samar-samar. Yang pastinya, Asrarr sekarang bukan lagi penghuni Kota Kaherah, bukan lagi musafir di benua sana, bukan lagi seorang pelajar medic! Jalan di hadapan masih kabur, pulang ke pangkuan keluarga bersama rasa keyakinan dan jaminan dari rezeki Allah Yang Maha Satu.

Gelak tawa mereka, usikan mereka dan pelukan mereka masih terasa. Segalanya rasa bagaikan sedang bermimpi, entah bila akan sedar dari dunia mimpi ini. Walhal, itulah realiti sebuah kehidupan. Semoga aku tidak hanyut terlalu jauh dengan mimpi-mimpi ini, kerana aku harus bangun untuk terus bernafas demi ayah bonda, keluarga dan masa depanku. Sungguh, ujian ini sukar, namun ujian ini juga aku rasa begitu nikmat hidup sebagai hamba Allah.

Setibanya di rumah, baru sahaja mahu merehatkan jiwa yang sedang sesak, dikhabarkan pula akan pemergian nenek tersayang. Allahu Akbar, terasa 'izzahnya dengan Kuasa Allah, Kau Sebaik-baik Perancang, Kau yang mengatur hidup aku yang terbaik untukku. Syukur, walaupun tidak sempat melihat arwah pada saat akhir hayatnya, namun kucupan terakhir itu cukup, dan sudah cukup menyebakkan jiwa ini. Oh, rupanya belum kering air mataku. Kematian itu sungguh sebagai ingatan dan iktibar pada hamba-hambanya yang masih punya nyawa. Al Fatihah buat arwah nenek. Semoga ditempatkan bersama orang-orang yang beriman dan para solihin. Ameen.



Kini, baru sahaja selesai menatap potret-potret bisu. Walaupun bisu, bagaikan terdengar suara-suara mereka. Hebatnya Allah yang menganugerahkan perasaan ini, Baiknya Allah yang memberiku sahabat-sahabat yang berhati mulia. Kasihnya Allah, yang menyatukan hati-hati kami. Semangat dan doa dari mereka akan menjadi inspirasi untuk aku terus melangkah, isnyaAllah.

*heart*
sesungguhnya aku mula merindui Cairo, dan segala isinya..

Sedih, sedih juga..hidup harus terus berjalan. Sementara menanti bergelar sebagai pelajar balik, mencuba menjadi sebaik-baik anak buat ayah bonda. Semoga Allah meredhai segalanya. Semoga Allah memudahkan segala perancangan dari hamba yang kerdil ini. Mohon doa dari semua! =)

-------------------------
banyaaaak sgt benda nak tulis, tapi tidak tertulis. isk. mata pun sudah kabur. huu.



No comments:

Post a Comment