Tuesday, November 1, 2011

Entry 2 Nov

Assalamu'alaikum w.b.t.

"Tempat jatuh lagikan dikenang, inikan pula tempat tumpah kasih dan cinta"

Mungkin kata-kata di atas amat sesuai dengan jiwaku. Sepanjang hari ini asyik teringat-ingat, terbayang-bayang akan sebuah latar tempat yang suatu masa dahulu pernah aku menghuni di dalamnya. Rindu pada suasananya, rindu pada insan-insan yang berada di sana. Segalanya datang tanpa diundang. Hari ini 1 Nov 2011 yakni genap satu tahun aku meninggalkan tempat pengajianku yang sebelum ini. Peristiwa itu sudah berlalu setahun yang lepas tapi ianya bagaikan semalam. Cepat sungguh masa berlalu.



Dari perlembahan Nil ke taman ilmu dan budi, dari Cairo ke Gombak. Subhanallah, perancanganNya cukup indah. Betapa ujian-ujian yang datang sememangnya menjadi bekalan buat diri. Jujurnya, sejurus sahaja pulang ke Malaysia, aku melalui jalan yang cukup payah untuk tiba ke saat ini. Pelbagai 'unexpected thing' berlaku yang mana amat mencabar keteguhan hati. Namun, apa yang mampu aku katakan, benarlah bahawa pengalaman itu adalah guru terbaik untuk terus hidup. Alhamdulillah, segalanya dapat dihadapi walau terkadang tekanan itu datang bertimpa-timpa sehingga tidak mampu untuk berkata-kata!.

Cobaan-cobaan yang datang adalah untuk membina sekeping hati. Apabila kita telah pernah menghadapi sesuatu yang amat sukar, apalah sangatkan dengan 'kesusahan yang sedikit' yang kadang-kadang Allah datangkan untuk mengingatkan pada yang lupa. Syukur sentiasa, moga-moga tidaklah kita dilekakan dengan perjalanan hidup yang terlalu 'relax' dan mudah yang semakin membuat kita hanyut dan lalai. Nauzubillah. Pelihara kami Ya Allah.

Cerita ini bukanlah untuk menggambarkan betapa hebatnya aku kerana mampu untuk bertahan sehingga kini, tetapi hanyalah sebagai satu perkongsian buat jiwa-jiwa yang mungkin sedang ketandusan semangat untuk meneruskan sebuah perjuangan. Jangan mudah berputus asa, walaupun terkadang kita merasakan dunia bagai gelap gelita. Jangan mudah menyerah kalah, walaupun terkadang kita merasakan tiada lagi harapan buat diri. Cahaya akan kembali menyinari hidupmu, dan harapanmu pasti akan subur kembali seandainya kamu redha dan yakin pada ALLAH.

Aku masih belum kalah, dan tidak juga sudah menjadi seorang pemenang! Tetapi cukuplah untuk mengatakan bahawa hati ini amat bersyukur dengan apa yang telah dilalui kerana ia mengajar aku ilmu kehidupan yang tidak bisa aku temui dari kitab-kitab kuliah. Perjalanan ini masih jauh, dan proses pembelajaran ini akan berterusan hingga ke hujung nafas terakhir. Semoga Allah permudahkan dan kurniakan kejayaan di dunia dan akhirat. Insya-Allah.

Mohon doa dari semua. :)

p/s : peribahasa di atas telah diubahsuai dari yang asal.



No comments:

Post a Comment