Tuesday, December 13, 2011

hati dan mati

Hati yang mudah tersentuh bila melihat babak-babak sedih di depan mata. Hati juga senang untuk merasa sebak jika mengingatkan pada peristiwa-peristiwa lampau yang menyayat hati. Air mata pula tanpa segan silu mengalir bila melihat insan lain bersedih dan menangis. Apakah punca semua ini? hati wanita terlalu rapuhkah? atau sememangnya fitrah perempuan itu begitu?

Beberapa minggu yang lepas aku dikhabarkan dengan berita yang amat-amat menyentap hati. Berita sebuah kematian adalah satu berita yang menyedihkan, lebih-lebih lagi apabila terjadi kepada insan yang dekat dengan kita. Suami Madam (salah seorang guruku di UIA) meninggal dalam kemalangan jalan raya. Meninggalkan isteri dan anak-anak yang masih kecil, belum mengerti akan hakikat sebuah kematian. Madam sangat baik dengan kami, pelajar-pelajarnya dan beliau selalu bercerita tentang keluarganya, tentang suaminya. They are such a very happy family. Walaupun aku baru sahaja bertemu dengan Madam, tapi aku sangat kagum dengannya. Dia sangat tabah dan positif. Agak terkilan kerana disebabkan peristiwa itu, Madam akan bercuti lama dan kelas kami mendapat guru baru. Rindu sangat pada Madam. Semoga Allah permudahkan urusannya dalam meneruskan hidup bersama anak-anak. Ameen.

Bila terjadi peristiwa begini, bermacam-macam fikiran datang. Rasa pilu dan sebak sangat mengingatkan kehilangan tiba-tiba insan tersayang. Ditambah lagi dalam masa yang amat-amat kritikal-anak anak sedang membesar dan sebagainya. Tapi, sungguhpun apa sekali tanggapan kita, Allah itu Maha Mengetahui dan Maha Adil terhadap hamba-hambaNya. Pasti ada sesuatu yang lebih indah dalam perancanganNya bagi setiap musibah. Peringatan besar juga buat diri, yang mengingatkan bahawa mati itu pasti, dan tiba-tiba akan datang tanpa isyarat bila saatnya tiba. Semoga matiku mati yang baik, sebaik-baik pengakhiran..

Banyak sangat lagi impian dalam hidup yang belum betul-betul dapat aku kecapi. Sering tertanya-tanya, sempatkah? Wallahu'allam...indahnya hidup andai segalanya diserahkan bulat-bulat hanya pada Dia. Dapat atau tidak, hati tidak kecewa, malah bertambah-tambah rasa redha dan keimanan pada Nya. Subhanallah, indahnya jika hati ini seperti itu...<3

Harapan dan doa yang tidak akan pernah putus..



No comments:

Post a Comment